SEMPORNA: Penjual ikan di pasar basah Semporna kini semakin berani apabila menjual spesies marin terancam secara terbuka.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, Luma Duyung Semporna menerusi hantaran gambar yang menyaksikan beberapa jenis ikan seperti devil ray, bamboo shark, black tip shark, porcupine fish dan parrotfish dijual di pasar berkenaan.
Pendedahan itu juga telah menimbulkan kerisauan kepada komuniti penyelam yang berpendapat penjualan spesis marin terancam boleh merosakkan ekosistem marin yang sensitif selain menjejaskan keindahan menakjubkan dunia bawah air yang menarik pelancong ke daerah ini.
Presiden Kelab Skuba Sabah, Sim Fui berkata, spesis-spesis yang dinyatakan sering dinantikan oleh penyelam skuba.
Kelab baru ditubuhkan itu yang juga dikenali sebagai Kelab Penyelaman Deus mempunyai hampir 100 ahli dan merupakan penyelam rekreasi yang berkongsi matlamat bersama dalam melindungi lautan dan kehidupan marin.
“Sebagai penyelam, kami menghargai peluang untuk menyaksikan keindahan semula jadi kehidupan marin dalam keadaan asalnya.
“Jualan spesies terancam seperti devil ray dan bamboo shark di pasar basah Semporna menggugat hakikat usaha konservasi dan pelancongan lestari.
“Kita perlukan penguatkuasaan yang lebih kuat dan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang terlibat dalam penangkapan dan perdagangan haram spesies marin terancam.
“Melindungi kehidupan marin kita bukan sahaja mengenai memelihara daya tarikan destinasi penyelaman, ia adalah mengenai memelihara keseimbangan ekologi laut kita,” kata Sim dalam satu kenyataan.
Menurut (IUCN), devil ray disenaraikan sebagai spesis terancam dan jarang dijumpai di lautan.
Bagi spesies jerung, beberapa daripadanya disenaraikan sebagai hampir terancam dan terancam di dalam senarai IUCN.
Pada 17 Julai 2019, empat spesies jerung dan dua spesies pari manta diberikan perlindungan di seluruh negara di bawah Peraturan Perikanan Persekutuan (Kawalan Spesies Ikan Terancam) 1999, Akta Perikanan 1985.
Spesies-spesies ini termasuk great hammerhead shark (Sphyrna mokarran), smooth hammerhead shark (Sphyrna zygaena), winghead shark (Eusphyra blochii), oceanic whitetip shark(Carcharhinus longimanus), serta dua spesies pari – the giant oceanic manta (Manta birostris) dan reef manta (Manta alfredi).
Sim juga berkata, keindahan laut telah menjadi daya tarikan pelancongan di Semporna dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi tempatan.
“Ia dikatakan spesies-spesies ini sering tertangkap sebagai tangkapan sampingan, sudah tiba masanya untuk mengadakan lebih program kesedaran dan menyediakan mata pencarian alternatif bagi komuniti tempatan untuk memastikan spesis-spesis tersebut tidak berakhir di pasar basah.
“Jika tidak, amalan menjual spesies marin berharga ini akan menyebabkan impak jangka panjang terhadap kepelbagaian marin dan industri penyelaman,” katanya lagi. – Info X