KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat menahan dua lelaki Filipina kerana membawa barang kawalan tanpa permit di perairan daerah ini, semalam.
Mereka yang berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan bersama bot pancing menerusi Op Pluto Timur di kedudukan hampir 2 batu nautika timur laut muara Marina, jam 6.10 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil daripada risikan yang diterima ketika melaksanakan rondaan, bot pancing berkenaan ditahan untuk pemeriksaan.
Katanya, melalui pemeriksaan, didapati dua lelaki warga Filipija mengendalikan bot berkenaan.

“Kedua-dua mereka disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan. Pemeriksaan lanjut juga menemui sejumlah barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan dibawa di atas bot berkenaan.
“Antaranya, 12 tong berisi minyak petrol dianggarkan sebanyak 300 liter, dua kotak minyak masak peket dan 10 tong gas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek bersama bot dan semua barang rampasan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berjumlah lebih RM100,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
“Selain itu, kes berkenaan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya. – Info X