Search

Warga emas hilang di hutan ditemui meninggal dunia

August 7, 2023

Junaidi Ladjana

RANAU: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari rotan di kawasan hutan Kampung Patau, di sini, sejak 21 Julai lalu, ditemukan meninggal dunia, hari ini.

Mayat mangsa Jurin Sahantoh, 62, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan tidak sempurna dan terapung dalam air di kawasan air terjun, kira-kira jam 11 pagi.

Mangsa dikatakan ke hutan pada 21 Julai lalu untuk mencari rotan namun tidak pulang ke rumahnya dan isteri mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya yang lain dan penduduk yang kemudian membantu mencari mangsa selama sepuluh hari, namun gagal.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya hanya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 31 Julai.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin.

“Operasi SAR dilancarkan bermula 2 Ogos lalu membabitkan sembilan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), kelab pacuan empat roda Ranau dan orang kampung.

“Mangsa ditemui oleh pasukan SAR di kawasan air terjun kira-kira dua kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 11 pagi, hari ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Simiun berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna terapung di dalam air di kawasan air terjun.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang ketika keluar ke hutan mencari rotan di Kampung Patau, pada 21 Julai lalu.

SAR kemudian dilancarkan sebaik sahaja laporan mengenai kehilangan mangsa. – Info X