KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah bekalan air di negeri ini masih belum disalurkan.
Sehubungan itu, katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri pada 26 Julai telah bersetuju supaya peruntukan kewangan dari Kerajaan Negeri digunakan terlebih dahulu bagi pelaksanaan keutamaan pembangunan khas ini.
Di samping itu juga, katanya, pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah memulakan kertas kerja penyediaan pra-pelaksanaan projek sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek sejurus kelulusan peruntukan disalurkan.
“Ini bukan isu teknikal, hanya isu pemerolehan kewangan. Selepas mendapat keputusan daripada Kabinet Negeri Sabah, Jabatan Air bersedia untuk melaksanakan lapan inisiatif yang telah dipersetujui dengan jawatankuasa teknikal di peringkat Persekutuan.
“Ingin saya menarik perhatian, walaupun peruntukan ini menjadi isu buat seketika, tetapi sebenarnya JANS telah memulakan ataupun membentuk satu jawatankuasa khas untuk program pemulihan dan penstabilan tekanan air khusunya di kawasan Kota Kinabalu meliputi Tuaran, KK dan juga Putatan,” katanya.
Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Yong Teck Lee (ADUN dilantik) pada sidang DUN Sabah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Shahelmey berkata, Kerajaan Negeri telah membentangkan Taklimat Isu dan Cabaran Pengurusan Bekalan Air Terawat Negeri Sabah kepada Perdana Menteri pada 1 Jun di, Putrajaya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah membentangkan 20 projek cadangan penyelesaian jangka pendek terpilih dengan anggaran jumlah keseluruhan kos RM300.25 juta.
Susulan daripada itu, katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah Bil 1/2023 telah diadakan pada 13 Jun dan telah memperakukan lapan projek dengan jumlah kos RM185 juta daripada 20 projek yang telah dipohon.
“Baki 12 projek tidak diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal kerana ianya melibatkan operasi dan penyenggaraan berdasarkan kriteria yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Penyediaan RMKe-12 2021-2025.
“Namun begitu, Jawatankuasa Teknikal mengambil maklum hasrat Kerajaan Negeri Sabah untuk memohon pertimbangan Pasukan Petugas Khas untuk meluluskan kesemua 20 projek jangka pendek, kerana kesemua projek tersebut adalah saling berkait dan akan menyelesaikan isu air dalam jangka masa pendek Sabah secara menyeluruh.
“Seterusnya, pada 21 Jun, satu Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Kelantan dan Sabah Bil.1/2023 telah diadakan di Kementerian Ekonomi Persekutuan bagi membincangkan halatuju dan kaedah pembiayaan dan pelaksanaan projek-projek yang telah disyorkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari Yong yang bertanya sama ada peruntukan pembangunan khas bagi isu bekalan air di Sabah yang telah diumumkan Perdana Menteri sudah diterima atau belum, serta sejauh manakah pelaksanaannya. – Info X