Search

Warga emas hilang di laut ketika memukat ditemukan lemas

August 9, 2023

Info X Reporters

KUALA PENYU: Lelaki warga emas berusia 62 tahun yang dikhuatiri hilang di laut ketika memukat di kawasan pesisir pantai Kampung Kiaru, di sini, semalam ditemui lemas, hari ini.

Mayat Mohd Lin@Juslin ditemui pasukan bomba bersama penduduk kampung pada jarak dua kilometer dari pesisir pantai berkenaan, kira-kira jam 8.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.49 malam tadi.

Katanya, menurut pemanggil mangsa turun ke laut dengan menggunakan bot jam 6 petang semalam untuk memukat dan mangsa didapati belum pulang ke rumahnya.

Mayat mangsa ditemui dua kilometer dari pesisir pantai Kampung Kiaru, Kuala Penyu. – Foto/Bomba

“Menurut maklumat saksi, bot mangsa kelihatan di tengah laut dalam keadaan kosong.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu bersama penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik operasi SAR hari kedua dimulakan pagi tadi, pasukan bomba bersama penduduk kampung berjaya menemukan mangsa pada jarak dua kilometer dari persisiran pantai.

“Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan bomba bersama penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan penemuan itu, operasi SAR kemudian ditamatkan pada 10.30 pagi,” katanya. – Info X