Search

DUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2023 lebih RM833 juta

August 8, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini, sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2023 berjumlah RM833,019,462.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, semua anggaran tambahan itu adalah mustahak bagi melancarkan operasi pentadbiran kerajaan, khususnya untuk tempoh suku keempat tahun 2023.

Selain itu, katanya, masalah bekalan air yang sedang dialami hampir di seluruh negeri semakin kritikal dan memerlukan jalan penyelesaian dengan segera.

“Justeru itu, anggaran perbekalan tambahan ini akan menumpukan kepada perbelanjaan operasi terutamanya untuk menangani isu air. 

“Sejumlah RM139.09 juta atau 16.69 peratus diperuntukkan bagi tujuan itu dan selebihnya berjumlah RM138.54 juta atau 16.63 peratus untuk lain-lain perbelanjaan operasi yang merangkumi Program Tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri sebanyak RM46 juta, penyelenggaraan saliran utama bandar dan pekan sebanyak RM19.78 juta.

“Perkhidmatan pengangkutan sebanyak RM16 juta, pembelian kenderaan dan jentera di pelbagai Kementerian dan Jabatan sebanyak RM10 juta, penyelenggaraan landasan keretapi sebanyak RM3.89 juta, penyelenggaraan sistem pembetungan sebanyak RM1.6 juta dan selebihnya untuk perbelanjaan operasi Kementerian dan Jabatan lain berjumlah RM41.27 juta,” katanya ketika membentangkan syor ke atas Permohonan Peruntukan Tambahan (ASP) 2023 pada sidang DUN Sabah.

Beliau berkata, sebanyak RM175 juta atau 21.01 peratus diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan Negeri sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit pembangunan serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah.

Katanya, lain-lain keperluan yang berjumlah RM380.37 juta adalah untuk membiayai belanja pentadbiran, bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK), elaun perjalanan dan sara hidup, bayaran Gantian Cuti Rehat (GCR), perbelanjaan utiliti dan sewa bagi menampung keperluan sehingga hujung tahun. – Info X