Search

799,782 penerima Sumbangan Tunai Rahmah di Sabah

August 8, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seramai 799,782 orang di Sabah menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) membabitkan peruntukan sebanyak RM696.3 juta.

Katanya, fasa pertama pembayaran STR di negeri ini diterima pada Januari 2023 diikuti fasa kedua pada April 2023, fasa ketiga mulai 26 Jun 2023 dan fasa keempat dijangka pada November 2023.

Beliau berkata, setakat fasa ketiga, sejumlah RM494 juta pembayaran STR direkodkan di Sabah. Baki sebanyak RM202 juta akan disalurkan dalam fasa keempat.

“Penunaian STR dalam kalangan penerima yang tiada akaun bank boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berdekatan sehingga 31 Disember 2023,” katanya pada sidang DUN Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian bagi menjawab soalan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) mengenai jumlah penerima STR di Sabah setakat 2023, khususnya di Kapayan dan faktor yang menyebabkan pemohon gagal mendapat bantuan berkenaan.

Hajiji berkata, antara sebab permohonan STR tidak diluluskan kerana ia tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan seperti pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah serta warga emas tiada pasangan dan melebihi RM2,500 bagi individu bujang.

Selain itu katanya, kegagalan pemohon untuk mengemukakan dokumen yang menunjukkan status perkahwinan atau perceraian turut menjadi faktor permohonan tidak diluluskan.

Beliau berkata, pemohon juga didapati tidak melepasi syarat individu bujang dan berstatus pelajar sepenuh masa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut memberitahu, penerima STR berkenaan tidak berdasarkan kategori mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Hajiji berkata, bagi memastikan STR juga dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan program penunaian di lapangan yang melibatkan daerah-daerah yang berkaitan bermula 3 Ogos sehingga pertengahan September 2023. – Info X