Search

Video bapa mangsa serang pengasuh pula tular

August 10, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Selepas rakaman kanak-kanak didera di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Luyang, tular semalam di media sosial, satu lagi rakaman membabitkan tindakan seorang lelaki mengasari pengasuh pula tular sejak pagi, tadi.

Rakaman berdurasi 1 minit 58 saat yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Malah, polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah semalam berkata, pihaknya menerima tiga laporan kes berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, satu laporan dibuat oleh bapa kanak-kanak terbabit manakala dua lagi diterima daripada pengusaha taska serta pengasuh berusia 27 tahun yang mendakwa dikasari.

“Mangsa dan suspek sudah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk pemeriksaan perubatan.

“Dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan ke atas lelaki itu dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan menyiasat.

Pagi tadi, pengasuh wanita terbabit yang berusia 27 tahun ditahan polis dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Wanita itu direman bermula esok hingga 17 Ogos depan selepas kebenaran reman dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. – Info X