KOTA KINABALU: Program FitMalaysia peringkat negeri Sabah bakal berlangsung di Kompleks Sukan Likas, di sini, pada 26 dan 27 Ogos depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, penganjur kali ini juga telah memilih Kota Kinabalu sebagai tuan rumah pelaksanaan program itu selepas ianya kali terakhir diadakan di bandar raya ini pada 2014.
Katanya, pelbagai aktiviti dirancang sempena program itu nanti termasuk Fun Run 5km, Fun Walk 3km, Fun Ride 10km dan 30km, sukan berbentuk pertandingan kecergasan secara individu dan berpasukan serta pelbagai pameran dan jualan kesihatan.
“Untuk makluman, pelaksanaan program FitMalaysia seluruh negara melibatkan jelajah ke semua negeri di Malaysia dengan melibatkan penyertaan rakyat yang amat besar.
“Sehubungan itu, saya mewakili Pengerusi Jawatankuasa Induk Program FitMalaysia Sabah mahukan yang terbaik daripada rakyat di negeri ini untuk memastikan kejayaan program ini dapat dicapai.
“Sebagai makluman tambahan, pelaksanaan FitMalaysia di Sabah telah diadakan sebanyak tiga kali iaitu pada 2014 di Teluk Likas, Kota Kinabalu, pada 2016 bertempat di Padang Bandaran Sandakan dan yang terakhir pada 2019, bertempat di Padang Bandaran Tawau,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ellron berkata, beliau amat yakin penganjuran kali ini akan dapat menarik dan mensasarkan lebih ramai penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama terutama dalam menghayati semangat perpaduan dan patriotisme di bulan kemerdekaan ini.
“Saya amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan penganjuran Program FitMalaysia di negeri pada kali ini akan mencapai sasaran penyertaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia iaitu seramai 7,000 orang,” katanya. – Info X