Search

Sambutan peminat di Sabah luar biasa – Sheila Majid

August 15, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Datuk Sheila Majid menyatakan kepuasannya apabila seramai kira-kira 2,500 penonton hadir menyaksikan konsert Big Band Live yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, baru-baru ini.

Ratu Jazz negara itu memaklumkan, dia terharu walaupun sudah beberapa tahun tidak tampil membuat persembahan di “Negeri Di Bawah Bayu” berkenaan tetapi sambutan peminat Sabah sangat luar biasa sehingga semua tiket konsert habis terjual.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menyaksikan Sheila mendendangkan beberapa seleksi lagu ‘hit’ sepanjang zaman miliknya seperti Memori, Pengemis Muda, Emosi, Lagenda, Ku Mohon dan Sinaran.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri, Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag. Menurut Sheila, semua peminat yang hadir menonton persembahannya itu menyatakan keterujaan dan gembira dapat menyaksikan nyanyian langsung beliau secara lebih dekat.

“Semua tiket habis terjual dan pastinya tiada yang menggembirakan selain segala kerja keras kami berbaloi.

“Perkara paling penting bagi seorang penghibur adalah semua penonton yang datang menyaksi pertunjukan pentas kita pulang dengan rasa puas hati kerana mereka membayar untuk itu.

“Besar macam mana pun atau semahal apapun persiapan kita, tidak seronoklah buat seorang penghibur apabila penonton balik dengan perasaan tidak gembira selepas menonton persembahan dijayakan.

“Bagaimanapun, muzik saya berjaya menyatakan semua malam ini. Bukan sahaja peminat Sabah tetapi ada yang sanggup datang dari Sarawak dan Brunei semata-mata hendak melihat Sheila Majid dan Big Band,” katanya. – Info X