SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengorbanan dan sumbangan askar bersekutu bersama masyarakat yang membantu mereka ketika perang pada 1945 akan sentiasa dikenang.
Beliau berkata, genap 78 tahun tamatnya perang berkenaan, kehilangan askar bersekutu yang berani sentiasa hidup dalam ingatan ahli keluarga masing-masing.
“Kami bersyukur dan akan sentiasa mengingati mereka atas pengorbanan dan sumbangan menjaga keamanan di tanah air kami.
“Pagi ini (semalam), marilah kita merenung sejenak pengorbanan mereka dan mengenang orang-orang berani yang telah lama pergi, kami juga mengiktiraf masyarakat tempatan yang mempertaruhkan dan kehilangan nyawa mereka dalam membantu tentera bersekutu.
“Marilah kita hormati mereka dan semua individu ini sebagai wira,” katanya pada majlis di Tugu Taman Peringatan Sandakan, di sini, hari ini.
Beliau ketika berucap sempena Hari Peringatan Sandakan berkata, Sabah mengiktiraf keberanian tentera bersekutu yang bertempur semasa Perang Dunia ke-2.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai mewakili Hajiji pada majlis itu.

Hajiji berkata, setiap tahun Hari Peringatan Sandakan diadakan pada 15 Ogos sebagai peringatan serta merapatkan hubungan di antara Australia, Britain dan Sabah.
Menurutnya, Sabah khususnya Sandakan sentiasa mengalu-alukan semua ahli keluarga dan ia akan menjadi tempat peringatan mereka.
Beliau juga mengiktiraf usaha Majlis Perbandaran Sandakan, Lembaga Pelancongan Sabah (STB), dan jawatankuasa penganjur atas dedikasi berterusan mereka untuk memberi penghormatan kepada yang terkorban dan mengekalkan kisah mereka.
“Penting bagi kita serta anak-anak diingatkan mengenai kisah sejarah ini untuk mengetahui apa yang telah hilang dan kebebasan yang kita peroleh sebagai balasannya,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Tinggi Australia dan British di Malaysia atas sokongan berterusan mereka dalam memastikan bingkisan sejarah ini diingati dan diingati bersama.
Terdahulu, Hajiji berkata, peperangan dan konflik tidak akan membawa sebarang hasil melainkan kemusnahan dalam usaha membentuk keamanan merentasi zaman.
Katanya, pemahamanan mengenai keamanan perlu direnungi secara mendalam kerana perang serta konflik yang membawa kemusnahan tidak boleh dibiarkan berlaku. – Info X