Search

Dakwaan Ambalat diserah kepada Indonesia, G57 desak ADUN Tungku mohon maaf

August 16, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian membuat permohonan maaf secara terbuka selepas mengeluarkan kenyataan mendakwa Kerajaan Pusat menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kenyataan dibuat Assaffal ketika sidang DUN Sabah minggu lalu dan sudah disebarkan melalui rakaman video adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab selain mengancam kedaulatan negara.

Katanya, kenyataan media Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin sebelum ini secara jelas menyatakan perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah dan tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika iaitu Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

“Mohamad Alamin turut menegaskan kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja urusan membabitkan triti terutamanya perihal sempadan negara berikutan ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“G57 mendesak agar ADUN tungku itu segera membuat permohonan maaf kepada kerajaan termasuk seluruh rakyat Sabah.

“Saya juga meminta agar perkara ini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja mengeluarkan kenyataan tidak betul dan mengelirukan DUN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, hari ini, G57 juga telah membuat laporan polis terhadap Assaffal, di Balai Polis Karamunsing, di sini. – Info X