PAPAR: Sebanyak 6,500 ekor anak ayam rentung selepas satu deretan reban ayam musnah dalam kebakaran di Kampung Meligan, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.14 pagi.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran membabitkan satu deretan reban ayam jenis tidak kekal berkeluasan 40×200 kaki persegi terbakar.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan sumber air dari jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozlan berkata, api memusnahkan sepenuhnya reban ayam berkenaan manakala 6,500 ekor anak ayam turut rentung.
“Operasi terkawal pada 3.09 pagi dan operasi ditamatkan sejam kemudian.
“Menurut pemilik reban ayam itu dianggarkan kerugian hampir setengah juta termasuk reban, baja dan lain-lain,” katanya.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – Info X