Search

‘Apalah nasib kami di Sabah?’, guru kecewa pasukan tidak ke MSSM kerana kekangan kewangan

August 17, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Seorang guru di Sabah meluahkan kekecewaannya apabila pasukan bola sepak Keningau bawah 18 tahun (B-18) yang menjuarai kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah, baru-baru ini, tidak dihantar untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung di Johor.

Naimmi Yusof menerusi satu hantaran di Facebook berkata, skuad kendaliannya tidak dapat ‘diterbangkan’ ke Johor susulan masalah kewangan.

“Apalah nasib kami di Sabah, Keningau juara u18, ‘coach’ dan budak saya tidak dapat ke MSSM sebab masalah kekangan kewangan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), kos flight (penerbangan) ke Johor, kos makan minum di sana, kos transport (pengangkutan) di sana… Dianggarkan RM30-40k.

“Kesian coach sama ‘player2’ saya, kenapa KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) turunkan peruntukan sikit untuk JPN Sabah untuk MSSM, negeri lain ‘ok’  tak perlu naik flight bagai,” katanya.

Naimmi turut berkata, selain B-18, skuad bola sepak B-15 juga turut tidak dihantar kerana faktor kewangan.

“Terus rasa ‘down’, tiada guna juara di negeri, tiada guna buat program dari peringkat daerah, kecewa, sedih dan marah.

“Nak minta tolong siapa lagi, Harap TMJ (Tengku Mahkota Johor) baca post ni, mana tau TMJ boleh bagi duit,” katanya lagi. – Info X