KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan, kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang mengeluarkan kenyataan parti dari Semenanjung tidak sepatutnya bertanding di Sabah hanyalah pandangan peribadi beliau.
Kata ketua menteri itu, cadangan yang dikemukakan Yong itu tidak mewakili GRS selain menegaskan fokus utama mereka kini adalah untuk membangunkan negeri.
“Sekarang kita fokus untuk membangunkan negeri, membantu rakyat menyelesaikan masalah air, masalah elektrik dan sebagainya, ini jadi tujuan utama kita.
“Itu pandangan peribadi Datuk Yong Teck Lee, dalam GRS kita ada tujuh parti gabungan dan perkara ini kita belum bincangkan kerana kita hanya akan mengadakan pilihan raya dalam masa dua tahun lagi”, katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Hajiji berkata, GRS komited bersama-sama dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRN akan datang.
Komitmen diberikan itu menurut Hajiji semata-mata ingin membangunkan negeri ini serta rakyatnya.
“Saya ingin nyatakan bahawa dalam pilihan raya akan datang kita adalah dalam Kerajaan Perpaduan termasuklah PH di Sabah.
“Jadi, kita tidak boleh berpisah dengan rakan-rakan kita PH termasuk BN kerana kita mahu bangunkan Sabah dan rakyatnya…janganlah terlampau politik sana sini,” katanya.
Terdahulu, Yong di dalam ucapannya pada Ahad sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan SAPP Kota Kinabalu mencadangkan agar parti politik daripada Semenanjung tidak bertanding di dalam PRN Sabah yang akan datang bagi mengelakkan pertindihan calon dalam kalangan parti-parti kerajaan termasuk Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan Yong itu mencetuskan ketegangan dalam kalangan pemimpin Kerajaan Perpaduan di Sabah termasuk PN yang menuntut penjelasan Yong terhadap cadangan terbabit. – Info X