KOTA KINABALU: Selepas luahan seorang guru yang kecewa kerana pasukan bola sepak B-18 tahun Sabah tidak dihantar ke peringkat Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM), beberapa lagi pihak turut menyatakan kekecewaan sama apabila mendakwa beberapa lagi acara tidak disenaraikan untuk bersaing.
Sumber berkata, kejadian seperti yang ditularkan di media sosial oleh guru terbabit bukanlah kali pertama berlaku, tetapi turut berlaku sejak dari dulu.
Malah, katanya, ada jurulatih atau pengurusan yang sanggup meminta sumbangan dari mana-mana pihak untuk pergi bersaing di peringkat MSSM namun akhirnya tidak dibenarkan oleh pihak atasan.
“Memang sedihlah, kami sudah berlatih sejak dari awal, dengan sasaran untuk jadi juara dan mewakili Sabah, tapi tiba-tiba tidak dihantar, apa boleh buat.
“Pernah kami guna inisiatif sendiri, mencari dana sana sini, tapi tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi.
Sumber itu berkata, mereka ada menyuarakan isu berkenaan di peringkat dalaman dan jawapan yang diberikan adalah kerana faktor kewangan.
Katanya, sebagai guru, mereka tidak berani meluahkan perkara itu di media sosial sebelum ini kerana bimbang akan dikenakan tindakan.
“Syukur ada pihak yang berani meluahkannya (di media sosial) sehingga membuka mata banyak pihak.
“Cuma saya ingin maklumkan, kes pasukan bola sepak B-18 dan B-15 hanya satu-satu kes, ada beberapa lagi acara turut dinafikan ke MSSM.
“Kami bersaing di peringkat MSSD, MSSS adalah kerana mahu ke peringkat kebangsaan, mahu membawa nama Sabah, tapi apakan daya kalau tiada duit atau tidak dibenarkan,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial seorang guru yang meluahkan kekecewaannya kerana skuad bola sepak B-18 kendaliannya tidak ‘diterbangkan’ ke Johor untuk beraksi di peringkat MSSM.
Perkara itu kemudian mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan yang memberi sumbangan RM50,000 bagi pasukan itu bersama skuad B-15 untuk beraksi di peringkat MSSM.
Bagaimanapun, satu lagi gambar tular di media sosial hari ini yang menyaksikan hantaran di Facebook oleh seorang individu mengatakan pasukan bola tampar wanita B-18 juga tidak dapat ke peringkat kebangsaan. – Info X