Search

Dua penguatkuasa disyaki terima rasuah RM4,000 direman

August 20, 2023

Info X Reporters

LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan reman dua individu iaitu masing-masing seorang pegawai dan anggota penguatkuasa kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM4,000 sebagai sogokan tidak mengambil tindakan terhadap suspek atas kesalahan narkotik.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 25 Ogos itu dikeluarkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Labuan, pagi tadi.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 3 petang semalam di pejabat SPRM Labuan ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, pegawai dan anggota yang bertugas di cawangan narkotik itu dipercayai menerima wang sogokan berjumlah kira-kira RM3,000 menerusi mesin wang deposit manakala selebihnya menerusi beberapa transaksi pindahan perbankan atas talian.

“Transaksi itu dilakukan antara September 2022 sehingga Mac 2023,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Info X