Search

Dua ahli pertubuhan haram ‘Tau Gamma Phi’ dipenjara dua bulan

August 21, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Filipina hari ini, dijatuhkan hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah terlibat dengan pertubuhan haram ‘Tau Gamma Phi’ (TGP).

Adam Abdul Raji 19, dan Aljimal Jul, 18, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Wan Farrah mengarahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 2 Ogos lalu.

Mahkamah juga mengarahkan supaya Adam dan Aljimal dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Terdahulu, Adam dan Aljimal dihadapkan ke mahkamah bersama dua lagi remaja berusia 17 tahun iaitu Asmawi Robin dan Azrul Jul yang turut dituduh atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, belum ada hukuman dijatuhkan terhadap Asmawi dan Azrul dengan kes mereka akan disebut semula di Mahkamah Kanak-Kanak pada 22 September depan.

Kesemua tertuduh ditangkap polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 2 Ogos lalu, kira-kira jam 7 malam.

Mereka ditahan selepas pihak polis mendapati mereka merupakan ahli kumpulan ‘Tau Gamma Phi’ (TGP) iaitu satu pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pihak Polis turut merampas baju yang dipakai oleh kesemua tertuduh kerana mempunyai logo serta tulisan berkenaan kumpulan TGP.

Selain itu, pemeriksaan fizikal pada keempat-empat tertuduh juga mendapati terdapat kesan tatu yang menandakan mereka sebagai ahli kumpulan TGP pada bahagian dada mereka.

Kumpulan TGP merupakan satu pertubuhan yang berasal dari Filipina dan siasatan lanjut polis mendapati keempat-empat tertuduh merupakan ahli kumpulan TGP – Chapter 1Borneo.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM3,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jessica Ombou Kakayun manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X