LABUAN: Dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di perairan pantai Kiamsam, di sini, kelmarin ditemui lemas petang semalam.
Mangsa pertama, Yassin Jhonal, 20, ditemui jam 5.20 petang dan Mohd Shah Nadzmin, 19, ditemui dua minit selepas itu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Kastam, Kiamsam untuk mengkoordinasikan Carilamat bersama agensi sahabat dan komuniti maritim.

Katanya, bot kilat 40 milik APMM ditugaskan untuk ke lokasi kejadian bagi pencarian awal seluas empat batu nautika persegi sekitar perairan pantai Kiamsam.
“PHC melaporkan penemuan mayat pertama anggaran posisi 0.5 batu nautika dari pantai Kiamsam pada 5.20 petang semalam.
“Seterusnya lokasi penemuan mayat kedua pula hampir 10 meter dari mayat pertama pada 5.22 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan dan dibawa oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke PHC.
“Keluarga kedua-dua mangsa telah dihubungi bagi proses pengecaman dan mayat dibawa oleh polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), JBPM, dan nelayan tempatan,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua mangsa dikatakan keluar memancing di perairan laut Kiamsam, pada 6 petang kelmarin dan hanya bot dinaiki mereka ditemui terapung berdekatan jeti Kiamsam.
Ahli keluarga mereka kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi bantuan mencari dan menyelamat. – Info X