Search

Lima premis makanan di pusat pelancongan Semporna diarah tutup

August 22, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Sebanyak lima premis makanan di pusat peranginan dan pusat pelancongan, di daerah ini, diarahkan tutup selepas didapati mengabaikan soal kebersihan di premis masing-masing.

Arahan penutupan itu dibuat dalam operasi khas yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah, pada hujung minggu lalu.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna, Dr Sahrol Nizam Abu Bakar (gambar) berkata, sebanyak 18 notis pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut dikeluarkan dalam tempoh dua hari operasi berkenaan.

“Kita rancang untuk menjalankan operasi ini di pusat peranginan dan pulau pelancongan lain untuk membuat pemeriksaan dapur,” katanya.

Beliau yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam berkata, sebanyak 66 notis pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan di daerah ini sehingga 16 Ogos tahun ini.

Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak 397 premis diperiksa dengan 255 premis adalah pemeriksaan kali pertama manakala 143 premis pula diperiksa untuk kali kedua atau kesalahan didapati berulang.

“Notis kesalahan ini agak banyak iaitu 1/3 premis mempunyai kesalahan dan kalau ikut pecahan 38 peratus adalah restoran iaitu dari segi bilangannya adalah 98.

“Selain itu, dapur pusat peranginan lima notis, gerai atau penjaja (135), kantin sekolah dan dapur asrama (15) serta kilang proses makanan dan kedai roti masing-masing satu,” katanya.

Menurutnya, antara kesalahan majoriti yang dilaporkan adalah berkaitan pengendali makanan tidak berkasut, tidak memakai apron dan penutup kepala serta menggunakan aksesori seperti cincin dan jam tangan.

Terdahulu, Pejabat Kesihatan Daerah Semporna hanya menerima dua laporan aduan berkaitan isu keracunan makanan membabitkan pelancong di daerah ini.

Sahrol berkata, aduan itu diterima pihaknya daripada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) membabitkan dua pelancong tempatan yang mengalami cirit-birit selepas keluar dari Semporna pada bulan Mei lalu.

“Kita mendapat aduan ini daripada SISPA dan hasil siasatan ia adalah kes terpencil serta tidak ada sebarang aduan diterima berkaitan pelancong warga asing mengalami keracunan makanan,”katanya. – Info X