Search

Langkah drastik Majlis Daerah Semporna elak tindakan notis merah

August 22, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Majlis Daerah Semporna mengambil beberapa langkah drastik jangka pendek dan panjang bagi mengelak tindakan notis merah dikenakan terhadap industri pelancongan di daerah ini.

Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew berkata, perubahan perlu dilakukan sebagaimana saranan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan daerah ini terus berkembang sebagai destinasi popular pilihan pelancong dalam dan luar negara.

Beliau berkata, semua pemain industri pelancongan di daerah ini akan terkesan jika notis merah dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkenaan.

“Kita risau jika tidak ada perubahan terhadap aduan pelancong, notis merah akan dikeluarkan yang menyebabkan pengunjung diberhentikan untuk datang ke Semporna.

“Justeru, yang rugi bukan hanya kita sahaja, tetapi seluruh negeri Sabah kerana Semporna adalah tumpuan pelancong terutama dari negara China,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi Kerajaan Bersama Penggiat Industri Pelancongan di sini, pada Isnin.

Menurutnya, jika notis merah itu dikeluarkan bukan sahaja sektor pelancongan akan terjejas tetapi ia melibatkan sektor lain termasuklah pengangkutan udara, premis makanan dan ekonomi yang lain.

“Berkaitan isu amaran MOTAC, kita tidak boleh menuding jari menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya semua pemain industri ini perlu berganding bahu menangani masalah berkenaan,” katanya.

Alexander dalam pada itu berkata, beberapa langkah drastik bagi mengelak mendapat notis merah daripada MOTAC itu kini sedang dilaksana dan diusahakan untuk dilakukan.

“Tindakan kita adalah berusaha membersihkan atau melaksanakan aktiviti pembersihan di daerah ini antaranya melakukan gotong-royong setiap bulan dengan melibatkan semua pihak.

“Kita juga akan mengadakan pertandingan kebersihan, kuatkuasakan notis penutupan mana-mana premis yang gagal mematuhi aspek kebersihan dan memikirkan untuk membeli sampah serta melakukan kitar semula,”katanya.

Turut hadir pada program itu Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Stanley Chong Hon Chung dan 280 penggiat industri pelancongan di Semporna.

Terdahulu, Menteri MOTAC Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataannya akan mengeluarkan amaran notis merah sebagai tindakan terakhir jika aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pelancong di Semporna tidak ditangani. – Info X