Search

Teknologi OMEGA untuk kolam renang Likas

August 22, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU : Kolam Renang, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas, kini mempunyai sistem teknologi OMEGA.

Perkara itu disampaikan Jurutera Lembaga Sukan Sabah, Awang Mohd Taufik Awang Ali semasa lawatan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin ke kolam renang berkenaan, hari ini.

Menurutnya, sistem teknologi berkenaan telahpun melalui fasa ‘Testing and Comissioning’ beberapa hari lalu dan pihak Persatuan Sukan Akuatik Sabah berpuas hati dengan sistem berkenaan dan menyatakan tiada masalah untuk digunakan.

Malah sistem terbaharu itu juga mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan oleh persatuan sukan berkenaan.

Daniel Lee Jun Qii selaku Presiden Persatuan Sukan Akuatik Sabah pula berkata, sebelum ini sistem sedia ada tidak berfungsi dengan baik yang mana sedikit sebanyak menjejaskan prestasi atlet terutamanya dalam kalangan atlit muda.

Sebaliknya, katanya, dengan adanya sistem teknologi ini juga, perenang yang berpengalaman pastinya akan merasai teknologi ini sama seperti menyertai kejohanan yang lebih tinggi iaitu peringkat kebangsaan dan antarabangsa tambah Daniel. 

Selain itu, beliau turut berharap agar dengan adanya sistem ini, banyak lagi atlet renang yang berbakat dapat diketengahkan untuk mewakili Sabah ataupun Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau turut menambah sistem ini juga akan memberikan manfaat besar kepada atlet Para Sabah kelak.

Ellron dalam pada itu berkata, beliau amat berpuas hati dengan sistem terbaharu ini, dan mengharapkan dengan adanya teknologi ini akan membantu meningkatkan prestasi sukan renang Sabah.

“Dengan adanya sistem ini, sudah semestinya akan menjadi pemangkin kepada atlet-atlet renang Sabah untuk lebih bersemangat dan bermotivasi dalam latihan dan sekaligus akan memajukan  lagi prestasi sukan renang Sabah,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir ke kolam renang berkenaan bagi menyaksikan sendiri percubaan sistem teknologi OMEGA yang baru sahaja dipasang.

Sistem teknologi OMEGA ini telah dipasang melibatkan dengan sistem Touchpad, Starting Block dan Scoreboard yang baru. Dengan sistem teknologi ini juga diyakini akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan  pengurusan sukan renang selain meningkatkan prestasi atlit.

Hadir sama dalam rangka kerja tersebut Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Terrence Edward Pudin, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah (Pengurusan Sukan dan Belia) Encik Charles William Dabbi dan kakitangan KBSS dan persatuan. – Info X