TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas rokok seludup bernilai lebih RM261,120 berhampiran kawasan persisir pantai Cowie Bay, Batu 2 Jalan Apas, di sini, 22 Ogos lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman, pihaknya menerima maklumat mengenai kemasukan sebuah bot mencurigakan di lokasi berkenaan kira-kira jam 8.30 malam.
Katanya, susulan itu, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi dan pemeriksaan.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati terdapat beberapa longgokan kotak dalam keadaan mencurigakan yang ditinggalkan di kawasan persisir pantai berkenaan pada jam 9.15 malam.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak itu menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama disyaki barang larangan Kastam,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati rokok berkenaan berjumlah 384,000 batang dengan anggaran harga selepas cukai bernilai RM261,120.
Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai dibawa dari negara jiran menggunakan bot laju dan memasuki kawasan sunyi bagi mengelak dikesan anggota penguatkuasa.
“Semua rokok yang dirampas itu adalah jenama baharu ditemukan dan kita percaya ia adalah untuk pasaran di daerah ini dan sekitarnya.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Mohd Nasir berkata, kawasan persisir pantai daerah ini adalah kawasan hotspot dan beberapa lokasi sudah menjadi kawasan pemantauan JKDM.

Dalam pada itu, katanya, perolehan kes rokok di stesen Tawau bermula Januari hingga Ogos tahun ini bernilai RM1,003,009.94 selepas cukai.
“Manakala bagi keseluruhan di Sabah bermula Januari hingga Julai 2023, nilai rampasan rokok bernilai RM6,363.154.26 selepas cukai.
“Sebanyak 591 kes berkaitan rokok direkodkan yang membabitkan 573 rampasan dan 17 tangkapan di seluruh Sabah,” katanya.
Katanya, JKDM menggesa orang ramai supaya dapat membantu dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman kes, mercun, dadah dan kenderaan di negeri ini.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian bebes tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran,” katanya. – Info X