PENAMPANG: Sebuah pusat hiburan yang beroperasi lebih masa di Jalan Penampang Bypass, di sini, diserbu awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan jam 2.30 pagi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Ketika serbuan, seramai 44 pengunjung pusat hiburan itu diperiksa dan seorang lelaki ditahan kerana positif dadah jenis Methamphetamine.
“Polis turut menahan pengurus pusat hiburan hiburan berkenaan atas kesalahan premis beroperasi melebihi masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis-premis hiburan di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan. – Info X