Search

9 motosikal, 2 kereta musnah terbakar di Platinum Apartment

August 25, 2023

Info X Reporters

PUTATAN: Sebanyak sembilan motosikal dan dua kereta termasuk kenderaan mewah di parkir bawah tanah di Platinum Apartment, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 pagi.

Kereta dan motosikal yang musnah terbakar di parkir bawah tanah di Platinum Apartment, Putatan. – Foto/Bomba

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan sembilan motosikal pelbagai jenis serta dua kereta jenis Perodua Axia dan Mercedez Benz terbakar 100 peratus.

“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sembilan motosikal dan dua kereta musnah dalam kebakaran di ruang parkir bawah tanah di Platinum Apartment, Putatan. – Foto/Bomba

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 4.25 pagi daripada merebak lebih besar.

“Tiada mangsa terbabit dan selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 4.40 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X