KOTA KINABALU: Pemandu lori yang terbabit kemalangan tujuh kenderaan sehingga mengorbankan nyawa seorang wanita di laluan bertingkat Lido, Jalan Lintas, di sini, pada Selasa direman lima hari.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki berusia 52 tahun itu direman bermula semalam sehingga 27 Ogos ini.
“Pemandu lori direman sehingga 27 Ogos untuk siasatan lanjut.
“Lori akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi Info X, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe dalam hantarannya di Facebook malam ini, berkata beliau mengikut perkembangan siasatan pihak polis dengan rapat.
“Suspek (pemandu lori) telah direman sehingga 27 Ogos dan lori itu dihantar ke Puspakom untuk siasatan terperinci.
“Saya telah hubungi pihak berkuasa untuk memastikan tindakan lanjut sedang diambil, termasuk langkah-langkah untuk mengelakkan kemalangan seperti ini berulang. Semoga agar keadilan akan ditegakkan,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam kejadian pada Selasa, kira-kira jam 6 petang, seorang wanita maut selepas kereta dipandunya digilis lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan.
Mangsa Nicolette Hannah George, 26, yang memandu kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, mangsa beralamat di Kampung Babah, Penampang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kepayan 88.
Sementara itu, Phoong dalam hantarannya itu juga mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa.

“RIP (berehatlah dengan tenang), adik Nicolette Hannah. Salam takziah kepada ibu bapa mendiang atas kehilangan anak tersayang dalam satu kemalangan maut yang telah berlaku di Jalan Lintas dua hari yang lalu.
“Saya sempat memberi penghormatan terakhir kepada Nicolette dan semoga segala urusan dipermudahkan buat keluarga mendiang.
“Hati saya luluh, tidak mampu berkata apa-apa…dia (mangsa) sangat muda dan mempunyai masa depan cerah,” katanya. – Info X