Search

Menjelang Piala AFC, Stadium Likas bakal dilengkapi VAR, sistem ‘scoreboard’

August 25, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Stadium Likas, di sini, yang akan menjadi venue Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bakal dilengkapi dengan ‘Video Assistant Referee’ (VAR) selain teknologi terkini sistem paparan digital pada ‘scoreboard’.

Ketika ini, kubu kuat Sabah FC itu sudah mencapai peringkat akhir kerja menaik taraf dan dijangka siap sepenuhnya sebelum 15 September depan, iaitu lima hari sebelum sepak mula Piala AFC 2023.

Kerja menaik taraf stadium yang berkapasiti 22,000 penonton itu bermula pada Mei lalu dan selain pemasangan VAR serta teknologi terkini sistem paparan digital pada ‘scoreboard’, turut dinaiktaraf ialah tempat duduk baharu bertemakan warna logo Sabah FC.

Hari ini, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, meninjau sendiri kerja menaik taraf Stadium Likas yang sudah mencapai tahap 90 peratus, bagi memastikan ia dapat disiapkan sepenuhnya seperti yang dijadualkan.

Beliau turut menyaksikan percubaan paparan digital baharu ‘scoreboard’ menggunakan sistem teknologi Omega yang dijangka beroperasi bermula pada perlawanan Liga Super, Sabah FC menentang Negeri Sembilan FC, malam esok.

“Saya melihat  proses penambahbaikan dan naik taraf Stadium Likas berada pada landasan menepati jadual yang telah dipersetujui.

“Penggunaan teknologi tinggi iaitu sistem ‘scoreboard’ dan sistem VAR adalah satu perkembangan positif sukan bola sepak Sabah dan pastinya peminat sukan bola sepak di negeri ini sudah sekian lama menunggu perubahan positif stadium ini,” katanya.

Katanya, selain untuk perlawanan bola sepak, kejohanan sukan lain juga akan mendapat impak positif menerusi penggunaan teknologi baharu itu yang membolehkan penganjuran sukan lebih cekap dan berkesan.

Kerja menaik taraf stadium berkenaan dilaksanakan bagi memenuhi piawaian penganjuran Piala AFC selepas Sabah FC tersenarai menyertai kejohanan itu pada tahun ini.

Sabah FC diundi bersama tiga pasukan lain dalam Kumpulan H saingan Piala AFC 2023 iaitu Haiphong FC dari Vietnam, Hougang United FC dari Singapura dan PSM Makassar dari Indonesia. – Info X