KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi, disebabkan masalah teknikal dalaman pihak KKIA.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electrcity Sdn Bhd, Ir Idris Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang masalah atau gangguan terhadap sistem bekalan elektrik dari pencawang elektrik milik SESB yang membekalkan elektrik ke KKIA pada hari kejadian.
“SESB menerima aduan mengenai gangguan bekalan yang berlaku di KKIA pada jam 9.38 malam 29 Ogos lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati punca bekalan elektrik di Pencawang Pembahagian Utama KKIA adalah normal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pengesahan sudah dibuat dengan pihak Pengurusan Bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
“Kita dimaklumkan kerosakan itu berpunca daripada kerosakan pendawaian dalaman bangunan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, malam tadi tular video memaparkan keadaan di terminal KKIA yang bergelap akibat gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Rakaman berdurasi lapan saat memaparkan suasana penumpang yang bergelap di dalam terminal KKIA.
Bagaimanapun keadaan kembali pulih pada 10.05 malam. – Info X