Search

Mayat kanak-kanak hilang ketika mandi ditemui di dasar sungai

August 31, 2023

Info X Reporters

TUARAN: Selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) 21 jam, akhirnya mayat kanak-kanak perempuan yang hilang ketika mandi di kuala sungai Kampung Serusup, di sini, semalam ditemui di dasar sungai, pagi tadi.

Mayat Syaza Wardiah Muesa, 12, ditemui Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) jam 11.47 pagi, pada jarak lima meter dari lokasi kejadian di kedalaman empat meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan jam 6.23 pagi oleh pasukan penyelamat termasuk pasukan PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Pasukan PPDA menemui mayat mangsa di kedalaman empat meter di kuala sungai Kampung Serusup, Tuaran. – Foto/Bomba

“Pada 11.47 pagi mangsa berjaya ditemui oleh pasukan PPDA berdekatan lokasi mangsa dilaporkan lemas di kedalaman empat meter.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abdul Qawie berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Dengan penemuan mangsa, operasi ditamatkan sepenuhnya pad 12.10 tengah hari,” katanya.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

Anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di kuala sungai Kampung Serusup, Tuaran. – Foto/Bomba

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 2 petang semalam, Syaza Wardiah hilang akibat dibawa arus ketika mandi bersama dua rakannya di kuala sungai Kampung Serusup.

Dua rakannya Ehsan Rusdi, 10 dan abangnya Adum, 13, sempat diselamatkan oleh bapa kepada Syaza. – Info X