Search

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri meriah

August 31, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 114 kontinjen dan 28 pelbagai jenis kenderaan memeriahkan perbarisan serta perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri tang berlangsung di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, hari ini.

Sambutan yang bermula kira-kira jam 7 pagi itu disaksikan ribuan pengunjung sejurus Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi menerima tabik hormat ketua setiap kontinjen.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag serta tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Tun Juhar memeriksa kawalan kehormatan utama yang membabitkan seramai 113 anggota dari Batalion Ke-22, Rejimen Askar Melayu Diraja, Sandakan yang diketuai Mejar Mohd Adam Embi.

Sejurus selepas itu, perarakan dimulakan menerusi lintas lalu udara membabitkan helikopter dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Sementara itu, 114 kontinjen perbarisan yang mengambil bahagian pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini terdiri daripada pasukan keselamatan, badan beruniform, kementerian negeri, sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Turut menyertai perbarisan ialah kontinjen mewakili persatuan kebudayaan etnik, badan bukan kerajaa (NGO) dan sektor swasta. – Info X