Search

Agong terharu sambutan hebat rakyat Tawau

September 4, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terharu melihat sambutan yang cukup hebat daripada penduduk di daerah ini.

“Saya sampai di Tawau tetap ada wow wow, sambutan selepas mendarat, dari Kuala Lumpur hanya 2 jam 30 minit tetapi dari airport ke sini (bandar Tawau) lebih lima jam.

“Saya dan isteri cukup bersemangat dengan apa yang ditunjukkan oleh orang Tawau dan Sabah, sambutan hari pertama sebegini, esok dan lusa mesti lebih hebat,” titah baginda.

Yang DiPertuan Agong berkenan mencemar duli melancarkan Kembara Kenali Borneo dan Program Santapan Bersama Rakyat, di Dewan Masyarakat Tawau, di sini semalam.

Sementara itu, baginda menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang berusaha merealisasikan Kembara Kenali Borneo ini.

Yang DiPertuan Agong turut bertitah mahukan seluruh rakyat Sabah dan Sarawak supaya menunjukkan rasa semangat patriotik dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September akan datang.

“Selepas sambutan kemerdekaan dengan semangat ditunjukkan di semenanjung yang begitu hebat, saya mahu tengok orang Sabah dan Sarawak bersemangat menyambut Hari Malaysia,” titah Baginda.

Dalam majlis itu, Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melawat dan mencuba masakan daripada pelbagai etnik di daerah ini.

Yang DiPertuan Agong turut mencemar duli menyampaikan sebuah lagu daripada kumpulan Spring bertajuk Butakah Cinta. Terdahulu, Kembara Kenali Borneo akan menjelajah lebih 2,149 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei bermula 3 hingga 13 September ini.

Kembara Kenali Borneo DiPertuan Agong bersama Permaisuri Agong ini bermula dari Monumen ‘0’ kilometer Tawau sehingga ke Teluk Melano Sarawak.

Kembara yang julung kali ini juga menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Turut hadir, Yang Dipertu Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya. – Info X