Search

Mayat lelaki ditemui terapung di laut Pulau Bum-Bum

September 4, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di laut berhampiran Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, di sini, pagi tadi.

Mayat yang masih sempurna itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak bomba untuk membantu mengangkat mangsa ke dalam bot Pasukan Polis Marin (PPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Norjali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.48 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mengangkat mayat mangsa.

Anggota bomba membantu mengangkat mayat untuk dipindahkan ke bot PPM Semporna. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian terapung di laut berhampiran Jeti Balimbang Pulau Bum-Bum.

“Kita terus bertindak mengambil mayat terbabit untuk dibawa ke dalam bot PPM,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.19 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mayat berkenaan, setakat ini belum ada pengesahan berhubung punca kematian mangsa,” katanya. – Info X