Search

Mayat warga emas ditemui terduduk di kerusi dalam rumah terkunci

September 4, 2023

Info X Reporters

KUNAK: Seorang lelaki warga emas ditemui sudah tidak bernyawa di dalam sebuah rumah yang berkunci di Kunak Jaya, Lorong 5, di sini, petang tadi.

Mayat lelaki berusia 69 tahun ditemukan di dalam bilik dalam keadaan terduduk di kerusi oleh pasukan bomba.

Difahamkan, mangsa kali terakhir dilihat petang semalam.

Pasukan bomba membuka pintu rumah mangsa yang terkunci menggunakan peralatan khas. – Foto/Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan membuka pintu rumah terkunci dan dilaporkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri, jam 2.56 petang.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba membuka pintu rumah yang terkunci menggunakan peralatan khas dan menemui mangsa dalam keadaan duduk di kerusi di sebuah bilik.

“Mangsa seterusnya dibawa keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 5.46 petang,” katanya. – Info X