SEMPORNA: Seorang pelancong warga asing maut selepas bot dinaiki bersama lapan rakannya lain karam di kawasan perairan Pulau Timba-Timba, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa lelaki berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4 petang.
“Hasil siasatan awal, bot berkenaan dinaiki sembilan pelancong asing dan empat pekerja pusat peranginan termasuk seorang juragan.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, bot yang mereka naiki tiba-tiba di masuki air daripada bahagian belakang, sebelum perlahan-lahan karam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa dikatakan bertindak terjun laut, sebelum mendapat bantuan daripada bot yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Lapan pelancong asing terbabit berjaya diselamatkan, manakala seorang daripada mereka didapati tidak sedarkan diri akibat lemas dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan dan tiga warga asing berumur 22 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan polis.
“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dikenakan hukuman denda.
“Semua suspek yang ditahan kemudian dibawa ke hadapan Majistret bagi mendapatkan tahanan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Farhan menasihatkan semua pemilik bot supaya berhati-hati semasa mengendalikan bot serta menyediakan peralatan keselamatan seperti jaket dan sebagainya.
“Sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada pegawai penyiasatan Inspektor Khadijah Mohd Seruji di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X