Search

Yiew dilantik Pegawai Khas kepada KM

September 5, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) N20 Api-Api, Yee Tsai Yiew dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Yiew yang merupakan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Parlimen Kota Kinabalu pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, menzahirkan rasa terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri kepadanya untuk memegang jawatan itu.

Yiew berkata, pelantikan itu adalah bukti Ketua Menteri mengutamakan kepentingan memperkasakan belia, khususnya wanita muda, dalam perkhidmatan sosial.

“Saya akan melakukan yang terbaik dalam tugas saya sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran Sabah,” katanya.

Yiew turut berharap pelantikannya akan menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam tadbir urus sosial dan politik, serta membawa perspektif dan pendekatan baharu.

Dalam perkembangan lain, Yiew akan berlepas ke Beijing, China pada 7 sehingga 27 September untuk menghadiri Seminar Pembangunan Keupayaan untuk Pegawai Wanita dalam Pengurusan Sosial dari Negara- Negara Membangun, sebagai wakil kerajaan negeri.

Seminar yang dianjurkan oleh Universiti Wanita China itu akan menawarkan pengalaman dan pandangan berharga mengenai penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi dan sosial dari negara- negara membangun. – Info X