Search

Lelaki maut, lori muatan sawit terjunam ke bawah jambatan

September 5, 2023

Info X Reporters

KUNAK: Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke bawah jambatan sedalam lima meter di Jalan Tun Fuad, Ladang Sungang, di sini, pagi tadi.

Mangsa Sanuddin Djidi, 43, yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua BBP Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.33 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

Pasukam bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori berkenaan. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah lori 10 tan dengan muatan buah kelapa sawit.

“Terdapat seorang lelaki iaitu pemandu lori terbabit masih tersepit dan usaha mengeluarkan mangsa terus dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Keadaan lori yang terjunam ke bawah jambatan di Jalan Tun Fuad, Ladang Sungang, Kunak. – Foto/Bomba

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.45 pagi,” katanya. – Info X