Search

Bot pelancong karam di luar kawasan Taman Laut Tun Sakaran

September 6, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Taman-Taman Sabah (TTS) mengesahkan kejadian bot karam yang meragut nyawa seorang pelancong asing, di sini, Isnin lalu, bukan terletak di kawasan Taman Laut Tun Sakaran.

Pengarahnya, Dr Maklarin Lakim berkata, insiden itu berlaku di perairan Pulau Timba-Timba dan di luar bidang kuasa TTS.

Katanya, TTS menerima laporan mengenai kejadian tragedi bot karam yang membawa sembilan pelancong asing untuk menjalankan aktiviti menyelam.

Dr Maklarin Lakim.

“Mengikut laporan, semua pelancong dan empat jurupandu snorkel termasuk pengemudi bot terbabit bergerak daripada salah sebuah pusat peranginan ke Pulau Timba-Timba, kira-kira jam 10 pagi.

“Namun, ketika dalam perjalanan ke pulau berkenaan, bahagian tapak kedudukan enjin bot mangsa telah patah dan menyebabkan air masuk melalui belakang,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Menurutnya, air melimpah masuk ke dalam bot terlalu pantas menyebabkan bot mereka karam dan semua mangsa terpaksa terjun laut.

“Salah seorang pelancong asing terbabit tidak dapat keluar dan tenggelem bersama bot berkenaan. Namun 10 minit kemudian mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Sebaik tiba di Hospital Semporna, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat lemas,” katanya. – Info X