LABUAN: Seorang doktor maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di kawasan berhampiran Simpang Rangas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa Harivin A/L Longanathan, 30, berasal dari Chemor, Perak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan kereta dari arah Jalan Bukit Kalam menghala ke Jalan Sungai Bedaun melalui Jalan Bebuloh.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran Simpang Rangas, Labuan. – Foto/PDRM
“Sebaik tiba di lokasi kejadian di kawasan selekoh dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan ketika melalui selekoh dari arah Jalan Sungai Bedaun hingga bertembung dengan kereta yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun.
“Akibat impak kemalangan itu, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas ambulans,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal apabila melalui satu selekoh ke kiri jalan sebelum masuk ke lorong pemandu wanita terbabit.
“Mayat mangsa telah dibawa menggunakan kenderaan polis ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X