SANDAKAN: Seorang remaja lelaki parah melecur selepas terkena serpihan letupan di pencawang elektrik berhampiran Kampung Forest, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Mustakim, 14, melecur di bahagian muka, tangan, kaki dan badan.
Difahamkan, tidak diketahui tujuan mangsa berada di pencawang elektrik berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pencawang elektrik di kawasan itu pada 1.06 tengah hari.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, benar berlaku letupan (percikan api) pada pencawang elektrik dan seorang remaja lelaki melecur di bahagian muka, tangan, kaki dan badan.
“Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi terkawal pada 1.31 tengah hari dan operasi tamat 11 minit kemudian.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X