Search

Mayat berulat di tapak pelupusan sampah

September 6, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Mayat lelaki yang mulai berulat ditemui di dalam sebuah pondok usang di kawasan tapak pelupusan sampah, Kayu Madang, Telipok, di sini, hari ini.

Mayat yang masih belum dikenal pasti identiti itu ditemui seorang pemungut sampah sebelum memaklumkan kepada pihak penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati mayat lengkap berpakaian dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital melebihi sehari kerana keadaan mayat sudah mula berulat.

“Siasatan awal juga mendapati mangsa seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, ditemui dalam keadaan terbaring di sebuah pondok usang yang diperbuat daripada kayu-kayu.

“Saksi yang ditemui tidak mengenali mangsa secara dekat namun sering melihatnya memungut sampah dan tinggal di dalam pondok berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut oleh Unit Forensik Ibu Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X