Search

Pecah amanah, bekas pengurus kanan GLC dihadap ke mahkamah

September 13, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan pecah amanah bernilai RM25,510, lima tahun lalu.

Tertuduh berusia 48 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Jason Anak Juga.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan tiga pertuduhan berkaitan pecah amanah menggunakan jawatannya untuk membuat tuntutan kerja, antara November 2017 hingga Januari 2018.

Tertuduh didakwa sebagai pengurus kanan dengan curang telah membuat tuntutan kerja iaitu membekal dan menyediakan tenaga kerja, bahan serta pengangkutan untuk menggantikan lantai bangunan yang reput bernilai RM9,010, pada 30 November 2017.

Tertuduh sekali lagi dengan curang membuat dua tuntutan untuk penggantian Insulation Pipeline Pum bernilai RM9,000 dan RM7,500 masing-masing dilakukan pada 11 Disember 2017 dan 19 Januari 2018.

Semua tuntutan yang dilakukan di sebuah Syarikat GLC di dalam daerah Lahad Datu itu didapati melanggar tatacara pengurusan kewangan Peruntukan Alat Ganti/Alat Tulis (Senggaraan) dimana sebenarnya kerja berkenaan tidak dibuat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 Kanun yang sama.   Jika sabit kesalahan, memperuntukkan penjara tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh diwakili peguam dari Chang & Kamaruddin Co, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norsham Saharom.

Hakim Jason Anak Juga kemudiannya memutuskan jaminan sebanyak RM12,000 dan RM3,000 deposit untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh juga diarah melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan sekali, menyerahkan Pasport Antarabangsa kepada Mahkamah dan dilarang mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk pengurusan kes pada 17 Oktober depan. – Info X