Search

Rogol anak perempuan berusia 14 tahun, bapa terima balasan

September 13, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Perbuatan terkutuk seorang bapa merogol anak perempuannya berusia 14 tahun terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh yang juga warga asing berusia 58 tahun itu mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Februari lepas kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah tidak bernombor di daerah Semporna.

Tertuduh yang ketika ini sedang menjalani hukuman enam bulan penjara di bawah Akta Imigresen didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga minimum lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara bermula Tarikh di tangkap.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X