Search

Sabah FC hadapi Perak FC tanpa empat tonggak

September 13, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC bakal beraksi tanpa kelibat beberapa tonggaknya apabila mereka melayan kunjungan Perak FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Likas, di sini, Jumaat ini.

Pemain-pemain berkenaan termasuk Stuart Wilkin, Darren Lok, Daniel Tinga dan Dominic Tan yang kini bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad kendaliannya itu masih perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencatat kemenangan serta mendapatkan bekalan mencukupi untuk aksi timbal balik di Stadium Perak, kelak.

“Setakat ini tidak banyak perbezaan (ketiadaan beberapa tonggak) berikutan pemain telah melalui proses latihan daripada awal tahun sehingga hampir penghujung tahun.

“Kita mempunyai percaturan penting jumaat ini dengan meletakkan beberapa pemain lain yang telah lama tidak diturunkan.

“Mereka akan mengalas tugas penting jumaat ini. Apa yang penting mereka perlu bermain secara ‘Team Work’ sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan ini nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kim Swee berkata, tidak banyak masalah dihadapi dalam persiapan dan taktikal Sabah FC menjelang aksi Jumaat ini walaupun beberapa tonggaknya terlibat dengan pasukan kebangsaan.

“Apa yang penting beberapa pemain yang menyertai latihan bersama pasukan kebangsaan dapat mengekalkan kecergasan mereka kerana selepas ini ada beberapa perlawanan yang penting termasuk AFC,” katanya lagi. – Info X

Kredit Foto – Sabah FC