Search

Pesara polis maut kemalangan dengan jentera berat

September 15, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang pesara polis maut susulan terbabit dalam nahas dengan jentera berat di Jalan Pan Borneo berhampiran Monsopiad Cultural Village, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 61 tahun yang pernah bertugas di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di kawasan jalan raya yang sedang diselenggara.

“Impak kemalangan menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Lokasi kejadian di Jalan Pan Borneo berhampiran Monsopiad Cultural Village, Penampang.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pihak polis juga meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat segera di balai polis yang berhampiran untuk membantu siasatan.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

“Jangan memasuki jalan yang masih dalam pembinaan dan penyelenggaraan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – Info X