Search

Cederakan adik guna samurai, lelaki dipenjara 12 bulan

September 15, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap adik kandungnya menggunakan pedang samurai.

Asuandi Ansar, 37, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun.

Tertuduh turut diperintahkan untuk menjalani hukuman bermula tarikh dia ditangkap.

Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 5 Julai lepas kira-kira jam 11.20 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kinabutan Tiku, Jalan Chung Hwa.

Tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas adiknya yang berusia 27 tahun menggunakan pedang samurai. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen dan Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada waktu kejadian tertuduh telah mengetuk pintu bilik pengadu untuk meminjam kunci kereta jenis Toyota Revo milik bapa mereka yang sedang menunaikan haji untuk membeli makanan kerana keretanya rosak.

Pengadu bagaimanapun enggan memberikan kepada tertuduh kerana bapa mereka telah berpesan tidak membenarkan tertuduh memandu kenderaan itu pada waktu malam sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua.

Tertuduh yang tidak berpuas hati bertindak mengambil sebilah samurai di biliknya lalu melibas ke arah pengadu untuk menakutkannya sehingga terkena bahagian lengan kiri pengadu hingga cedera.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X