KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan laporan yang mengatakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bakal mengetuai gabungan itu di negeri ini.
Dalam satu kenyataan bersama, hari ini, PH Sabah berkata, laporan yang disiarkan sebuah portal nasional itu telah menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
“PH Sabah amat terkejut dengan laporan berita itu yang telah tular dalam media sosial dan menimbulkan kekeliruan serta kerisauan rakyat.
“Kami secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ianya tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, PH Sabah berpendirian bahawa mana-mana keputusan mustahak yang berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipertimbangkan, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan tertinggi.
Menurut kenyataan itu lagi, PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincang perkara terbabit termasuk halatuju menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama pemimpin PH Sabah iaitu Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Sangkar Rasam, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu. – Info X