NABAWAN: Penduduk Kampung Salinatan dalam mukim Pensiangan dan kawasan sekitarnya, di sini, hampir terputus bekalan makanan berikutan beberapa kejadian tanah runtuh dan jambatan rosak yang memutuskan jalan perhubungan ke kawasan terpencil itu awal bulan ini.
Ketua Anak Negeri (KAN) Mukim Pensiangan, Atar Andipoh, berkata kira-kira 300 penduduk kampung di kawasan berkenaan terjejas berikutan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dari luar disebabkan kejadian tanah runtuh itu.
Katanya, kebun penduduk yang terletak jauh dari kawasan perkampungan juga tidak dapat dimasuki kenderaan pacuan empat roda atau motosikal yang biasa digunakan mereka sebelum ini, menyukarkan lagi situasi yang dihadapi.
“Bencana tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan komuniti Kampung Salinatan sangat teruk terjejas. Terdapat lebih 30 tanah runtuh berlaku di antara jalan Salinatan ke simpang Pensiangan, ditambah pula 10 tanah runtuh di jalan Sabinait menuju ke luar.
“Barang makanan asas penduduk kampung berkurang secara mendadak sepanjang tujuh hari selepas tanah runtuh berlaku. Ini kerana bekalan makanan di kampung terhad di rumah masing-masing.
“Kedai-kedai runcit di Kampung Salinatan dan di kampung berhampiran juga kehabisan makanan untuk dijual. Tiada siapa yang menduga bencana ini berlaku dan tiada siapa yang bersedia dengan bekalan makanan yang cukup untuk waktu yang lama,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Katanya, beliau sudah membuat laporan ke Jabatan Kebajikan berhubung situasi dihadapi penduduk kawasan berkenaan, namun tindakan lambat diambil.
Berikutan itu, katanya beliau mengambil keputusan untuk bertanya individu yang mengenali mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu penduduk Kampung Salinatan.
Beliau bertambah bimbang keadaan akan semakin kritikal apabila bekalan beras dan bahan makanan yang lain yang ada di rumah penduduk mula habis.
“Situasi ini bertambah berat kerana bencana ini turut membawa hanyut jambatan yang sering digunakan penduduk. Jambatan ini adalah satu-satunya kemudahan untuk kenderaan penduduk kampung melintasi sungai.
“Faktor ini juga menjadi penyumbang kepada masalah kekurangan makanan penduduk Kampung Salinatan. Kebun penduduk jauh dari pemukiman, mereka selalunya menggunakan kereta pacuan empat roda atau motosikal untuk menuju kebun.
“Namun, laluan menuju ke kebun penduduk juga terlibat runtuhan dan tidak dapat dilalui mana-mana jenis kenderaan. Kebun penduduk jauh, jalan pula putus dan tiada kenderaan yang dapat digunakan sekali gus menghilangkan cara penduduk untuk memperolehi sumber makanan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya beliau bersyukur ada guru di Salinatan mengenali NGO Forces Of Love (FOL) untuk meminta bantuan bagi pihak penduduk kampung.

Katanya, guru dan penduduk Kampung Salinatan mempunyai hubungan yang sangat erat seperti keluarga, menyebabkan apa-apa kesusahan dihadapi penduduk kampung turut dirasai pihak sekolah.
Berikutan itu, Atar berkata permohonan bantuan diajukan kepada NGO terbabit sebelum akhirnya bantuan bahan makanan dapat dihantar dan disalurkan kepada penduduk terjejas beberapa hari lalu.
Misi bantuan itu, katanya turut dijayakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – Info X