Search

Lelaki ditahan merempit

September 18, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang lelaki yang disyaki merempit di Jalan Chong Thien Voon, di sini, membawa padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Suspek warga tempatan berusia 21 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki itu bersama sebuah motosikal jenis Yamaha dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, ketika operasi, enam keping saman turut dikeluarkan membabitkan kesalahan ubah suai ekzos, brek tidak berfungsi dengan baik.

Motosikal yang ditunggang oleh suspek ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Tawau. – Foto/IPD Tawau

“Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan iaitu tidak mengikut tanda laluan trafik, nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut peratutan dan kenderaan tiada cermin pandang belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jasmin berkata, Op Samseng Jalanan yang dilakukan adalah bagi mengesan aktiviti mat rempit dan mencegah lumba haram disamping memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Ibu bapa turut diingatkan supaya memastikan anak-anak tidak terbabit dengan sebarang aktiviti lumba haram atau sebarang pertaruhan kerana tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawa diri sendiri tetapi juga membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – Info X