SEMPORNA: Polis mengesahkan video memaparkan pergelutan penguat kuasa Majlis Daerah Semporna (MDS) dengan sekumpulan penjaja di pekan daerah ini yang tular di media sosial pagi tadi, adalah kejadian tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dibuat terhadap dua lelaki yang terbabit ketika kejadian itu bagi siasatan lanjut.
Katanya, kertas siasatan telah dirujuk ke timbalan pendakwa raya (TPR) Sabah dan arahan tuduh mengikut Seksyen 8(1)(c) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) terhadap kedua-dua tangkapan.
“Pada 11 Mei, 2022, pertuduhan telah didaftarkan di Mahkamah Majistret Semporna bagi kedua-dua suspek mengikut Seksyen 8(1)(c) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah OKKNS.
“Namun kes telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) memandangkan kedua-dua suspek tidak hadir dan Sapina gagal di sempurnakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Farhan Lee berkata, kejadian itu berlaku jam 9.45 pagi, pada 23 Mei 2022 bertempat di Lorong Chan Chuan Kee, di sini.

“Ketika sepasukan penguat kuasa MDS sedang menjalankan tugas pembersihan kaki lima, pasukan penguat kuasa merampas barangan jualan penjaja di kaki lima berkenaan.
“Ketika rampasan dibuat, telah berlaku provokasi daripada beberapa orang penjaja. Penguat kuasa membuat teguran tetapi tidak diendahkan dan laporan polis dibuat,” katanya.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi satu minit 11 saat di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai penjaja bertindak agresif dengan menolak anggota penguat kuasa sehingga mencetuskan situasi tegang.
Selain itu, beberapa individu lain didapati turut menghalang tindakan anggota penguat kuasa yang sedang membawa barangan dipercayai dirampas daripada penjaga terbabit.
Bagaimanapun keadaan itu berjaya dileraikan dan kembali tenang. – Info X