RANAU: Pengguna di jalan raya yang menghubungkan Ranau dengan Tambunan menyeru pihak berkuasa terutama Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya segera membaiki kerosakan laluan berkenaan yang semakin kritikal.
Seorang pengusaha pengangkutan awam, Painin Wali berkata, keadaan jalan itu sudah semakin teruk akibat tanah runtuh dan berpotensi akan terputus hubungan.
Katanya, kerosakan laluan yang disebabkan tanah runtuh itu sudah lama berlaku tanpa sebarang baik pulih dan tiada tindakan pihak berkuasa dijalankan.
“Ramai pengguna jalan berkenaan terutamanya penduduk Kampung Tungou, di sini mengalami kesukaran untuk menggunakan lalauan itu kerana semakin sempit.
“Kita khuatir sekiranya tiada sebarang tindakan, ia akan membahayakan pengguna jalan raya dan penduduk bakal terputus akses kemudahan berkenaan,” katanya.
Painin berkata, penduduk di sini mengharapkan pihak JKR dapat bertindak awal membaiki kerosakan tanah runtuh itu sebelum perkara tidak diingini berlaku. “Saya memohon supaya pembaikan disegerakan kerana ia bukan sahaja soal keselamatan pengguna jalan raya, tetapi rumah penduduk berhampiran juga akan terjejas,” katanya.
Sementara itu, pihak JKR ketika dihubungi, memberi jaminan bahawa kerosakan jalan raya di kawasan berkenaan akan diatasi sebaik mereka mendapat peruntukan untuk membaikinya.
“Pihak konsesi yang memantau kerosakan jalan raya berkenaan juga sudah membuat pengukuran serta pemantauan dan kini sedang menunggu peruntukan untuk tujuan pembaikan,” katanya. – Info X